arena

Tolak pengadil sama tempat lahir

Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

BAGI mengelak tercetus kontroversi, mulai musim ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menurunkan pengadil yang memiliki tempat lahir sama dengan pasukan diadili dalam mana-mana perlawanan Liga Malaysia (Liga M).

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata, ketetapan itu diambil bagi menghindari saingan bola sepak domestik dijadikan bahan kritikan dan tohmahan hingga ada yang memfitnah badan induk itu.

Jelasnya, pihaknya sentiasa cuba memberi perkhidmatan terbaik bagi memuaskan hati semua pihak termasuk penyokong dan pasukan bertanding.

Pada musim lalu, selepas aksi Liga Super membabitkan pertemuan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Felda United berakhir, timbul persoalan mengenai integriti pengadil perlawanan itu yang dikatakan berasal dari Johor.

Lantas ia menyebabkan FAM dikritik hebat terutama daripada netizen yang mengganggap badan induk berkenaan sengaja memilih pengadil dari Johor untuk memberi kelebihan buat skuad Harimau Selatan dalam aksi itu.

Bagaimanapun, FAM menafikan perkara terbabit dengan menegaskan pemilihan pengadil tidak dibuat berdasarkan tempat lahir, sebaliknya mengikut negeri mana mereka didaftarkan sebagai pengadil.

Sementara itu, Dali turut mengesahkan FAM tidak merancang membawa pengadil dari luar negara bagi mengadili aksi Liga-M musim ini.

“Pengadil Liga M berkualiti.  Empat pengadil negara terpilih mengendalikan perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Iraq, minggu lalu,” katanya.

Pada final Piala FA musim lalu, FAM membawa tiga pengadil dari Jepun bagi mengendalikan aksi final antara Kedah dan Perak yang menyaksikan skuad Helang Merah muncul juara selepas meraih kemenangan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 6:00am
d