arena

Drama Ryan Babel bawa padah [VIDEO]

Oleh Agensi

TINDAKAN Ryan Babel menimbulkan tanda tanya buat pemain Getafe, Allan Nyom apabila pemain pertahanan itu terbaring selepas dihalang penyerang Ajax itu.

Babel seperti tidak puas hati dengan tindakan bekas pertahanan West Brom berkenaan sehingga bertindak meniru aksi pemain lawan itu apabila dengan sengaja terbaring dan berguling-guling di atas padang sebelum mengejeknya berpura-pura menangis.

Kelab dari Belanda ketika itu ketinggalan 0-1 dan pemain sayap itu mendakwa Nyom jelas berlakon.

Bekas pemain Liverpool dilayangkan kad kuning kerana melakukan kekasaran namun meluahkan kekecewaan selepas perlawanan itu.

“Saya tidak tahu sama ada saya akan melakukan perkara sama sekali lagi. Ia berlaku ketika detik puncak,” katanya selepas perlawanan itu.

“Pemain itu (Nyom) seperti berlebihan. Getafe tidak mengagumkan saya.

“Minggu depan di gelanggang sendiri, kami akan beraksi lebih baik dan dengan pengadil yang berbeza.”

Pemain dari Brazil, Deyverson meletakkan Getafe di depan pada separuh masa pertama sebelum terkena pemetik api ketika meraikan jaringannya.

Rakan senegara dari Brazil dan pemain sayap yang dipinjamkan dari Chelsea, Kenedy menggandakan jaringan buat tuan rumah mendahului pada minit akhir permainan.

Ajax harus mengubah defisit dua gol apabila melayan kunjungan pasukan itu pada perlawanan kedua Khamis minggu depan.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 3:17pm
d