arena

Waspada strategi Dollah

Oleh Mohd Rafi Mamat

SELEPAS mengharungi empat perlawanan persahabatan menjelang saingan Liga Super, gambaran awal skuad Tok Gajah musim ini sudah dapat dinilai jurulatih Dollah Salleh.

Bukan kemenangan yang ditagih pada setiap perlawanan, sebaliknya kualiti pasukan hasil persembahan pemain yang diinginkan terutama membabitkan kelibat awang import.

Kekalahan 1-4 kepada Terengganu FC di gelanggang lawan minggu lalu membolehkan Dollah membuat percaturan kelibat pemain yang benar-benar mampu berada di posisi sebenar selepas ketiadaan beberapa pemain utama.

Usaha membentuk persefahaman pemain tempatan dengan awang import baru pasti menjadi agenda utama gandingan Dollah dan pembantunya, Ahmad Yusof.

Formula berkesan menjadi misi penting menjelang sepak mula Liga Super.

Kekosongan posisi pertahanan kanan yang ditinggal pemain kebangsaan, Matthew Davies tidak banyak merisaukan Dollah apabila berjaya menemui penggantinya yang tidak kurang hebatnya walaupun masih cetek pengalaman.

Dalam perlawanan persahabatan terakhir Tok Gajah menjelang Liga Super bertemu pasukan Kuala Lumpur malam ini, beberapa percubaan meletakan pemain dijangka akan dilakukan Dollah yang dilihat semakin selesa dengan pasukan dibentuk.

Beberapa peminat setia pasukan Tok Gajah berpendapat pasukan Pahang musim ini dilihat lebih mantap dengan gandingan pemain tempatan dan import yang lebih berkesan untuk memburu kejuaraan.

Misi Pahang musim ini memburu kejuaraan berganda selepas gagal merangkul sebarang piala musim lalu.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 8:33pm
d