arena

Jepun, Kanada minat khidmat Arif

Oleh Mohd Amin Jalil

SELEPAS mengambil tindakan menggantung reketnya bermula akhir tahun lalu, bekas pemain badminton perseorangan negara, Mohd Arif Abdul Latif berhasrat untuk menumpukan perhatian kepada bidang kejurulatihan.

Mohd Arif, 30, berkata dia sudah menerima dua tawaran menjadi jurulatih skuad remaja dari kelab badminton di Jepun dan Kanada awal tahun ini dan sedang mempertimbangkan tawaran berkenaan.

“Setakat ini, saya ada menerima dua tawaran menjadi jurulatih kepada skuad remaja sebuah kelab badminton di Jepun dan Kanada.

“Bagaimanapun, saya belum membuat keputusan mengenainya, namun sudah memaklumkan kepada kedua-dua kelab berkenaan untuk memberikan tempoh dalam membuat keputusan kerana isteri (Rusydina Antardayu Riodingin) dijangka melahirkan anak sulung pada Jun tahun ini.

“Apapun, saya melihat tawaran itu sangat bagus dan tidak harus dilepaskan begitu sahaja kerana ia peluang terbaik untuk menimba pengalaman dan membuktikan keupayaan sebagai jurulatih,” katanya.

Beliau ditemui selepas dilantik sebagai Ikon Antidadah Negeri Sembilan sempena Program Komuniti Cakna Sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan ke-37 Peringkat Negeri Sembilan 2020, di Masjid Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof, di sini, hari ini.

Majlis pelantikan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

Mohd Arif berkata, ketika ini dia menggunakan pengalamannya dengan membantu kelab badminton yang dimiliki abangnya, Zakry, yang beroperasi di Seremban 2, membimbing pemain peringkat kanak-kanak bawah 12 tahun dan remaja.

Menurutnya, negara memerlukan ramai pemain badminton berbakat dan berprestasi tinggi untuk menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa pada masa depan.

“Kita perlu melahirkan seramai mungkin pemain muda berbakat supaya Malaysia tidak ketinggalan dengan negara lain seperti Indonesia, China, Korea Selatan dan Jepun di pentas badminton dunia,” katanya.

Dia yang kali terakhir dinobatkan selaku juara Terbuka Rusia pada 2018, juga berhasrat untuk mengikuti jejak Datuk Misbun Sidek memberikan sumbangan kepada pembangunan sukan badminton negara suatu hari nanti.

“Saya perlu menimba pengalaman sebagai jurulatih terlebih dulu di luar negara yang mana kemudiannya akan dapat digunakan untuk membangunkan sukan badminton tempatan pula,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 10:09pm
d