arena

Cheong Min mahu terus cemerlang

Oleh Aida Adilah Mat

ATLET wushu negara Tan Cheong Min mahu terus mengorak langkah melakarkan kejayaan di peringkat tertinggi selepas berjaya meraih emas dalam acara nandao pada Kejohanan Wushu Dunia di Shanghai, China, Oktober lalu.

Menyasarkan dua kejohanan utama iaitu Kejohanan Wushu Asia dan Piala Dunia Taulo yang kedua-duanya akan berlangsung di Jepun November ini, Cheong Min mahu terus kekal konsisten agar dapat terus mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi.

Dia yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Jagoan Nadi Arena 2019 itu berkata, ketika ini dia menjalani latihan seperti biasa dan anugerah yang diterimanya itu menjadikan dia lebih bermotivasi untuk terus melakukan yang terbaik.

“Sesungguhnya saya tidak menyangka akan terpilih memenangi anugerah ini kerana ramai lagi calon yang lebih baik daripada saya.

“Ia membakar semangat saya untuk terus melangkah ke depan dan saya akan terus cuba memberikan yang terbaik kerana dalam wushu tiada ranking dunia yang ditawarkan kecuali pingat,” katanya yang kini mengumpul lebih daripada 100 pingat emas sejak terbabit dalam wushu.

Ditanya bagaimana dia kekal konsisten dalam setiap persembahan, Cheong Min yang mula mengenali wushu ketika bersekolah di Melaka berkata, tiada diet yang diamalkan tapi dia perlu meningkatkan kekuatan dan kekuatan tubuh badan untuk satu gerakkan yang sempurna.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 7:27pm
d