arena

Red Warriors serba lengkap

Oleh BERNAMA

THE Red Warriors (TRW) melengkapkan kuota empat pemain import bagi memperkuat pasukan itu, menghadapi saingan Liga Perdana musim ini.

Pengarah Urusan Team Red Warriors Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata, empat pemain itu adalah Felix Chidi Odili dari Nigeria dan Christopher Jackson (Liberia) yang akan beraksi sebagai penyerang manakala Kang Seung Jo (Korea Selatan) dan Masaki Watanabe (Jepun) pula, di posisi pertahanan.

“Keempat-empat pemain ini menandatangni kontrak bersama pasukan pada minggu lalu yang mana tiga daripada mereka menandatangani kontrak selama satu tahun, manakala Christopher pula selama dua tahun.

“Kesemua pemain import ini dipilih oleh barisan kejurulatihan pasukan ketika sesi pramusim lalu, yang mana kesemua mereka menepati kehendak barisan jurulatih yang diketuai oleh Yusri Che Lah,” katanya pada sidang akhbar sebelum Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.

Pada majlis itu, TRW akan menggunakan empat warna jersi bagi menghadapi saingan musim ini iaitu merah, biru, putih dan hitam.

Wan Rakemi berkata, Christopher menjadi sandaran utama TRW, untuk menjadi ‘mesin pencetak gol’ dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), terutamanya Liga Perdana.

“Dia adalah aset penting kepada pasukan dan kami yakin pemain ini mampu bersinar pada saingan Liga-M, dengan kualiti yang ada selain digandingkan dengan pemain tempatan lain,” katanya.

Beliau berkata dengan gandingan empat pemain import itu dan pemain muda tempatan, ia mampu mengembalikan semula TRW ke saingan Liga Super dan membawa pulang satu piala sama ada Piala FA mahupun Piala Malaysia pada musim ini.

“Ia adalah sasaran kami dan sasaran itu mampu dicapai berpandukan kepada persiapan rapi yang dilakukan, menjelang sepak mula pada Sabtu depan (29 Feb).

“Persiapan rapi itu meliputi merangkumi pembayaran hutang-hutang lapuk secara ansuran membuktikan kesungguhan Team Red Warriors Sdn Bhd membina semula imej pasukan,” katanya.

Katanya pasukan itu juga turut membawa masuk beberapa pemain berpengalaman membabitkan dua penyerang iaitu Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan Nazrin Nawi (penyerang) selain Mohammad Faredzuan Kamarudin (penjaga gol).

“Kami berharap penyokong yang juga pemain ke-12, dapat memberikan sokongan kepada pasukan sepanjang musim ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 7:37pm
d