arena

UiTM tidak beri laluan mudah

Oleh Firdaus Hashim

SKUAD UiTM FC yang bakal tampil dalam saingan Liga Super buat julung kalinya sebagai pasukan ‘underdog’ tidak akan memberi laluan mudah sebaliknya bertekad memperagakan aksi terbaik walaupun sekadar pasukan bertaraf universiti.

Jurulatih pasukan, Frank Bernhardt mengakui ujian besar bakal ditempuhi anak buahnya apabila berdepan lawan yang jauh lebih hebat dalam saingan divisyen satu itu.

Bagaimanapun, beliau yakin pemain sudah bersedia menyahut cabaran berkenaan dengan sasaran pasukan untuk kekal di Liga Super.

“Pihak pengurusan mahu kami mencabar pasukan lain dengan menyasarkan kedudukan 8 terbaik sekaligus kekal di liga musim depan.

“Namun saya percaya dengan barisan pemain yang ada ini, adunan beberapa pemain-pemain lama musim lalu dan kemasukan tiga ke empat pemain berpengalaman seperti Khuzaimi Pie, Shahrul Igwan, Danish Haziq dan lain-lain kita mampu kekal.

“Setiap perlawanan mencabar dan sukar. Kami perlu menghadapi satu persatu perlawanan.

“Kami perlu kerahkan segala kudrat dan akan melihat hasilnya kelak,” kata Bernhardt yang sebelum ini pernah dilantik sebagai jurulatih skuad bawah 23 tahun negara pada 2016.

Jelas pengendali dari Jerman yang ditemui pada Majlis Perkenalan Pasukan Dan Jersi di Shah Alam, kelmarin, mengakui aksi sulung liga menentang Melaka United pada Sabtu depan amat penting bagi melonjakkan motivasi pasukan.

”Kita ada peluang untuk memenangi aksi pertama ini, bagaimanapun pemain perlu ingat bahawa setiap perlawanan adalah cabaran untuk kita.

”Justeru, kita perlu bersiap sedia dan memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan,” katanya.

Terdahulu, UiTM FC memperkenalkan tiga jersi baharu untuk saingan musim ini iaitu dengan warna merah sebagai jersi utama selain biru dan merah jambu untuk jeris kedua dan ketiga pasukan.

Turut diperkenalkan adalah barisan pemain UiTM FC untuk Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 8:31pm
d