arena

Smalling sedih anjing peliharaan mati

Oleh Agensi

PERTAHANAN England, Chris Smalling berasa terlalu sedih selepas anjing peliharaannya mati secara tiba-tiba dan dia mengesyaki binatang peliharaannya itu termakan racun tikus.

Pemain Manchester United itu yang sekarang ini dipinjamkan ke AS Roma, cuba untuk menyiasat siapa yang membunuh anjingnya, Miley selepas jatuh sakit sejak bulan lalu.

The Sun melaporkan anjing baka cocker spaniel-Jack Russell itu dilihat kurang bermaya ketika berjalan di sekitar luar kawasan rumah Smalling di Itali.

Smalling dan isterinya, Sam Cook percaya ketiga-tiga anjingnya termakan racun tikus yang disembur secara sengaja di atas tanah.

Dua lagi anjingnya, Ruben (baka Hungarian Vizsla) dan Summer (Labrador) juga kurang sihat namun masih berjaya untuk diselamatkan.

Smalling memuatnaik berita sedih itu dilaman sosial.

“Sekarang, sebahagian daripada cinta hati saya sudah hilang. Siapa yang tahu mengenai kisah saya dengan Miley, pasti sedar kesedihan saya. Ramai yang bergurau saya mempunyai dua wanita di dalam hidup saya.

“Kali pertama bertemu Miley memang saya takut dengannya,” jelas Smalling dalam laman sosial.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 10:28pm
d