arena

VAR buat Lampard berang

Oleh Agensi

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard membidas VAR yang dianggap tidak cukup bagus selepas satu lagi keputusan tidak menyebelahi mereka ketika menewaskan Tottenham 2-1 malam tadi.

Giovani Lo Celso jelas memijak kaki Cesar Azpilicueta tetapi VAR memutuskan tiada layangan kad merah selepas mendakwa tindakan itu tidak disengajakan.

Bagaimanapun, pegawai di Stockley Park mengakui kad merah patut diberikan tetapi sudah terlalu lewat tindakan diambil dalam perlawanan itu.

“Tidak cukup bagus,” kata Lampard kepada wartawan. “Maafkan saya, dua keputusan VAR dalam dua perlawanan. Selalunya sukar apabila anda tewas dan orang memikirkan anda hanya menjerit mengenainya.

“Tetapi anda perlu menjerit kerana ia tidak cukup bagus. Setiap orang dalam dunia ini menyaksikan ia sepatutnya kad merah. Saya benci mengatakan ia kad merah tetapi apabila anda membahayakan pemain lain, jelas ia boleh mematahkan kaki.

“Saya tak berkata mengenai pengadil secara terus, ia tidak mudah tetapi VAR ada untuk membantu tetapi jelas ia tidak cukup bagus.”

Tidak dapat dipastikan sama ada tindakan akan diambil ke atas Lo Celso.

Azpilicueta sendiri ketika ditemui selepas tamat perlawanan terkejut kad merah tidak dilayangkan kepada pemain Tottenham itu.

Insiden semalam berlaku hanya lima hari selepas dia berkonfrontasi dengan VAR apabila menegaskan Harry Maguire sepatutnya dibuang padang ketika tewas kepada Manchester United pada awal minggu ini.

Dia menggesa pengadil pergi dan melihat monitor daripada membiarkan keputusan Stockley Park.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 8:09am
d