arena

Ronaldo rai aksi ke-1,000 dengan jaringan

Oleh AFP

CRISTIANO Ronaldo yang tampil dalam aksi profesional ke-1,000 menyamakan rekod dengan menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut Serie A selepas Juventus mengukuhkan cengkaman di puncak liga menewaskan SPAL 2-1, awal pagi tadi.

Pemain berusia 35 tahun itu menolak bola masuk enam minit sebelum rehat untuk menyamai pencapaian Gabriel Batistuta dan Fabio Quagliarella.

Pemenang Ballon d’Or lima kali kini sudah menjaringkan 25 gol dalam semua kejohanan musim ini buat Juventus termasuk 16 gol daripada 11 perlawanan.

Aaron Ramsey menjaringkan gol kedua buat Juventus pada minit ke-60 sebelum Andrea Petagna menyempurnakan penalti sembilan minit kemudian buat SPAL namun masih belum cukup menyekat kemenangan skuad bimbingan Maurizio Sarri.

Kemenangan itu menyaksikan Juventus kembali mencatat kemenangan di tempat lawan selepas tewas kepada Napoli dan Hellas Verona sebelum ini, lima hari menjelang kunjungan mereka ke Perancis bagi bertemu Lyon dalam aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Anak buah Sarri kini berada di kedudukan teratas liga dengan kelebihan empat mata di depan penghuni tangga kedua, Lazio yang akan berkunjung ke Genoa, malam ini.

Inter Milan pula ketinggalan enam mata di belakang juara bertahan itu sebelum perlawanan menentang Sampdoria.

“Ini perlawanan sukar dan sejak beberapa tahun ini kami tidak pernah menang di sini. Cabarannya adalah untuk cuba mengutip tiga mata dan bermula esok (hari ini) kami akan membuat analisis mengenai permainan Lyon.

“Matlamat utama kami adalah kejuaraan liga. Saingan Liga Juara-Juara adalah impian kami tetapi ia pasti menjadi sesuatu yang indah jika impian menjadi realiti,” kata Sarri.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 8:35am
d