arena

Messi amuk Eibar, Real aib di Levante

Oleh AFP

LIONEL Messi meledak empat jaringan dan Barcelona merampas kedudukan pendahulu La Liga selepas Real Madrid tewas mengejut 0-1 di Levante, awal pagi tadi hanya seminggu sebelum Clasico.

Kekalahan Real diburukkan lagi dengan satu lagi kecederaan menimpa Eden Hazard yang terpaksa dikeluarkan pada babak kedua dan kini tidak pasti dapat beraksi menentang Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini.

"Situasi tidak bagus,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Messi menamatkan kemarau jaringan dalam empat perlawanan sebelum ini dengan bergaya apabila meledak empat gol bagi membantu Barcelona menewaskan Eibar 5-0.

Penyerang sensasi Argentina itu menjaringkan gol pada minit ke-14, 37, 40 dan 87 sebelum Arthur Melo melengkapkan kemenangan The Catalan menerusi jaringan pada lewat babak perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Barcelona kembali ke tangga teratas liga, dua mata di depan Real menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Santiago Bernabue.

“Kami mengharungi masa yang baik musim ini dan sekarang masa yang buruk," kata Zidane.

"Kini, kami hanya mempunyai tempoh seminggu yang mana semuanya akan dipertaruhkan.”

Barcelona pula akan berkunjung ke Napoli dalam aksi peringkat pertama saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu ini.

Real menerima kunjungan City keesokannya dan perancangan telah pun dibuat bagi membolehkan Hazard memulihkan kembali kecergasan untuk disenaraikan buat kali kedua dalam kesebelasan utama sejak pulih kecederaan kaki kanan tiga bulan lalu.

Dalam perlawanan lain, Real Sociedad melonjak ke tangga keempat di atas Atletico Madrid selepas menewaskan Valencia 3-0.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 9:00am
d