arena

Kecederaan bahu jejas persiapan Marquez

Oleh AFP

JUARA motosikal dunia, Marc Marquez mengakui masalah kecederaan bahu berpanjangan menjejaskan prestasinya pada hari pertama ujian pramusim di Doha, awal pagi tadi.

Pelumba Honda, Marquez yang juga juara enam kali kelas elit mencatat masa keenam terpantas di Litar Losail, 0.361s di belakang penunggang Suzuki yang juga rakan senegara, Alex Rins.

Marquez menjalani pembedahan pada bahu kanan selepas terjatuh ketika sesi ujian di Jerez sekali gus memburukkan lagi kecederaan dialami ketika menyertai Grand Prix Malaysia tahun lalu.

"Hari ini kami bermula baik tetapi bahu saya masih terasa sakit berbanding ketika di Malaysia,” kata Marquez.

"Ketika di selekoh panjang, terutamanya di sebelah kanan, saya tak selesa di bahu. Seperti selalu, Qatar bukanlah litar mudah buat kami tetapi kami mahu menjadi sekuat yang boleh.”

Qatar menjadi tuan rumah pembuka musim Kejohanan Dunia pada 8 Mac depan.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 11:41am
d