arena

Reed dominasi WGC Mexico

Oleh AFP

PATRICK Reed melakukan tiga birdie di hujung saingan untuk mencatat empat bawah par 67 sekali gus lebih satu pukulan berbanding Bryson DeChambeau bagi membolehkannya mencatat kemenangan di Kejohanan Golf Dunia (WGC) Mexico hari ini.

Bekas juara Masters itu kekal tenang meskipun melalui detik mengecewakan dalam sembilan lubang pertama di lapangan Chapultepec Golf Club. Dia menamatkan saingan dengan catatan keseluruhan 18 bawah par 266.

Birdie pada lubang ke-15, 16 dan 17 nyata amat membantunya terutamanya sekali apabila dia meraih bogey di lubang terakhir untuk mencatatkan kemenangan tipis.

“Ia sangat berharga,” kata Reed yang hanya pernah memenangi takhta WGC pada 2014 ketika beraksi di Doral di Florida.

“Memenangi Kejohanan Golf Dunia untuk kali kedua - terutamanya bagaimana cara saya menamatkan saingan ini bermula di lubang ke-15 - amat istimewa.

“Penamat di lubang terakhir agak teruk tetapi ia mencukupi untuk saya menamatkan tugas di sini,” katanya.

DeChambeau dilihat mendominasi saingan apabila melakukan empat birdie di lubang 10, 11, 12 dan 14.

Namun bogey di lubang ke-17 memusnahkan impiannya yang melakukan catatan enam bawah par 65 untuk keseluruhan 17 bawah par 267.

Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 12:51pm
d