arena

Kedah, Pahang jumpa awal

Oleh Syazwan Msar

UMPAMA perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2019 apabila pusingan kedua Piala FA 2020 menyaksikan Kedah diundi menentang Pahang sekali gus menjadi medan skuad Tok Gajah membalas dendam berikutan kekalahan sebelum ini.

Namun, skuad kendalian Tok Gajah perlu mempamerkan aksi mantap berikutan mereka berkunjung ke Stadium Darul Aman pada Mac depan dan jika berjaya akan melangkah ke pusingan seterusnya nanti.

Undian pusingan kedua Piala FA 2020 turut menyaksikan sekurangnya lima pasukan kerdil atau bertaraf amatur berpeluang melakukan kejutan menentang pasukan dari Liga Super antaranya perlawanan membabitkan Johor Darul Ta’zim(JDT) menentang KL Rovers, Melaka bertemu Langkawi City FC dan Perak pula menerima kunjungan KT Rovers.

Selain itu, PJ City pula perlu berwaspada ketika melayan kunjungan Imigresen FC selain pendatang baru Liga Super, PDRM pula akan menentang NLFC Mahsa.

Walaupun dianggap mustahil bagi sesetengah pihak namun komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan ketika beraksi pada pusingan pertama dengan berjaya menyumbat gol dengan jaringan besar seolah memberi amaran bahawa mereka bakal melakukan kejutan nanti.

Lain-lain perlawanan adalah membabitkan Felda United menentang Kelantan United,Markless ST menentang Armed Forced FC, Kuantan FC menentang KSR Sains, UiTM FC menentang Kuching FA, Sarawak menentang Terengganu FC.

SSFC yang berpengkalan di Selangor pula bakal menerima kunjungan UKM FC manakala Kelantan yang baharu pulih dari masalah kewangan perlu lebih bersedia ketika bertemu Protap FC.

Manakala dua lagi perlawanan lain adalah membabitkan Pulau Pinang menentang Negeri Sembilan dan Sabah bertemu Kuala Lumpur.

Semua perlawanan terbabit akan berlangsung 17 dan 18 Mac manakala mereka yang berjaya akan melangkah ke pusingan seterusnya.

Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 8:48pm
d