arena

Skuad petanque Terengganu berguru di Vietnam

Oleh Malik Muhamad

PERSATUAN Petanque Negeri Terengganu (PETER) menyasarkan dua pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor, pada Julai tahun ini.

Presiden PETER, Dr Sarifah Fauziah Syed Draman berkata, sasaran itu berdasarkan prestasi semasa atlet Terengganu dan negeri lain.

"Saya lihat atlet kita mampu menyaingi pesaing lain berdasarkan beberapa keputusan yang begitu baik setakat ini dalam kejohanan yang disertai.

“Situasi ini begitu positif untuk memburu sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam temasya SUKMA nanti sekali gus memperbaiki pencapaian 2018 iaitu satu pingat emas dan tiga gangsa," ujarnya.

Beliau berkata, bagi memastikan atlet Terengganu berada di landasan terbaik untuk merangkul emas, persatuan akan menghantar mereka berlatih di Vietnam.

“Mereka akan berkampung di negara itu selama 15 hari pada April sebagai persiapan akhir sebelum bermulanya pertandingan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berakhirnya Kejohanan Petanque Beregu Antarabangsa Terbuka Terengganu di Dungun petang semalam yang disertai 300 atlet seluruh negara.

Dalam kejohanan itu, kategori lelaki diungguli gandingan tuan rumah yang juga atlet negara, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Mohd Haizzat Rosli, yang menang 13-11 ke atas Mohd Faiza Mohammad dan Firdaus Adli Bakri (Johor).

Selaku juara, Syed Akmal dan Haizzat menggondol wang tunai RM4,000 dan medal manakala lawannya terpaksa berpuas hati dengan meraih RM2,000 berserta medal.

Kategori wanita pula diungguli atlet Pahang selepas dua beregu mereka bertemu sesama sendiri di final untuk masing-masing membawa pulang RM2,000 dan RM1,000 berserta medal.

Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 11:47pm
d