arena

Demi Olimpik

Oleh Aida Adilah Mat

PENERJUN negara Chew Yiwei akan melakukan apa saja untuk cuba melayakkan diri beraksi di temasya Olimpik Tokyo buat kali pertama.

Dia yang akan bergandingan bersama seorang lagi penerjun berpengalaman negara Ooi Tze Liang akan memberi fokus dalam acara 3m terjun seirama dan individu dengan peluang terakhir mereka adalah di Kejohanan Terjun Piala Dunia di Tokyo April ini.

Atlet berusia 24 tahun dari Klang, Selangor itu berkata, dia akan cuba memperbaiki teknik setiap hari selain mengkaji terjunan lawan terutama dari China, Russia dan Britain bagi merapatkan darjah kesukaran terjunan.

“Sekarang ini saya cuba untuk tingkatkan keyakinan untuk mendapatkan rentak konsisten dipertadingan nanti. Apa yang penting ketika ini bukan berlatih dengan banyak tapi bagaimana cara saya untuk menjaga diri sendiri.

“Apapun saya perlu melakukan yang terbaik setiap kali latihan kerana Piala Dunia nanti adalah peluang terakhir saya untuk layak ke Olimpik,” katanya.

Ketika ini seramai 12 atlet sudah melepasi syarat kelayakan ke Olimpik dalam acara 3m papan anjal individu dengan 18 lagi tempat menjadi rebutan di Piala Dunia nanti.

Manakala bagi acara seirama hanya empat tempat menjadi rebutan selepas China, Britain, Mexico dan Jepun sudah mengesahkan tempat ke temasya terbesar dunia itu.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 12:02am
d