arena

Kisona teruja cabut undi Piala FA

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMINAT bola sepak dan badminton sering 'berperang' baik di laman sosial mahupun di kedai kopi dengan masing-masing mempertahankan siapa sukan nombor satu di Malaysia. Bagaimanapun, dalam undian pusingan kedua Piala FA semalam, membuktikan bola sepak dan badminton boleh bersatu dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjemput pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina, S Kisona untuk mencabut undi.

Kisona yang juga perseorangan wanita ketiga terbaik negara berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Lebih menarik lagi Kisona juga yang mencabut nama pasukan Kedah, sekali gus menyaksikan juara bertahan itu bakal berdepan naib juara Liga Super musim lalu, Pahang.

"Pada awalnya saya berasa sangat gementar kerana semua presiden atau wakil pasukan hadir di majlis berkenaan. Selepas itu saya berjaya membiasakan diri dan ia satu pengalaman menarik," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kehadiran Kisona juga menyaksikan beberapa kakitangan MFL mengambil peluang bergambar dengannya.

"Ya, kalau diberi peluang atau dijemput ke majlis undian seperti itu saya bersedia melakukan tugas berkenaan dengan baik," katanya yang diberi peluang mencabut undi sebanyak lapan kali. Turut hadir dan ditugaskan mencabut undi pusingan kedua Piala FA itu ialah dua pemain futsal wanita, Steffi Sarge Kaur dan Farahiyah Mohd Ridzuan.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 6:40pm
d