arena

TFC II meriahkan Akademi Lions FC

Oleh Malik Muhamad

PELANCARAN Akademi Bolasepak Lions FC di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (SKKGB), semalam berlangsung meriah dengan kehadiran barisan pemain skuad Terengganu FC II (TFC II) termasuk jurulatih.

Akademi pertama ditubuhkan di sekolah negeri itu bukan hanya mendapat kerjasama pihak sekolah, malah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) turut bersama dalam pembangunan sukan itu bermula daripada peringkat akar umbi.

Guru Besar SKKGB, Azmi Senik berkata, akademi berkenaan mampu mencungkil bakat baharu dalam kalangan murid di samping pengisian masa terluang dengan aktiviti berfaedah melalui bersukan.

“Apa yang kami harapkan kerjasama bukan hanya seketika bagi memastikan impian untuk mengasah bakat dalam kalangan murid menjadi pemain profesional suatu hari nanti tercapai,” ujar Azmi.

Majlis itu dirasmikan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu. Turut hadir Presiden Lions FC, Dr Rais Abdullah dan ketua jurulatih TFC II, Roshadi Wahab.

Sementara itu, Dr Rais berkata, penubuhan akademi itu bertujuan untuk mempelbagaikan aktiviti kepada murid-murid selain mengasah kemahiran pemain berbakat.

“Justeru dengan kerjasama ini kami harap program ini dapat melahirkan pelapis berwibawa buat sukan bola sepak negara,” katanya.

Bagi Roshadi, program berkenaan bagus untuk pembangunan bola sepak negeri dan negara kerana ia bermula di peringkat usia muda lagi.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 10:13pm
d