arena

Pogba tak sanggup tengok Liverpool juara

Oleh Reuters

LIVERPOOL memang layak menjuarai Liga Perdana musim ini dan telah pun memegangnya sebelah tangan, menurut pemain tengah Manchester United, Paul Pogba sambil menambah hatinya pedih melihat musuh paling ketat mereka itu beraksi sangat baik musim ini.

Liverpool menewaskan West Ham 3-2 semalam dan kini hanya memerlukan 12 mata lagi untuk menjuarai gelaran pertama liga dalam masa 30 tahun manakala United di tangga kelima, 38 mata di belakang kelab Merseyside itu.

"Mereka jauh meninggalkan kami semua,” kata Pogba kepada ESPN. "Mereka tidak tewas walau satu perlawanan liga musim ini dan mereka kini sebelah tangan menjulang trofi Liga Perdana.”

Liverpool meraih 26 kemenangan dan seri sekali dalam 27 aksi liga dan Pogba berkata, prestasi pasukan Juergen Klopp terus meningkat sejak beberapa musim lalu.

"Mereka lebih bagus berbanding musim lalu apabila menjuarai Liga Juara Juara dan musim sebelum itu ketika tewas kepada Real Madrid pada final,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

"Sebagai pemain Manchester United dan persaingan di antara kami, kami sudah tentu tidak mahu mereka menjuarai liga. Kami tidak mahu sesiapa saja memenanginya selain kami tetapi sebagai pencinta bola sepak dan menghormati pemain lawan, saya berpendapat mereka berhak dengan kejayaan mereka hari ini,” kata pemain antarabangsa Perancis itu yang belum lagi beraksi tahun ini susulan kecederaan.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 10:31pm
d