arena

Pemain senior tolak panggilan ada sebab

Oleh Ferzalfie Fauzi

KETUA jurulatih hoki lelaki negara, Roelent Oltmans mengakui pemain senior mempunyai sebab tertentu untuk menolak panggilan skuad kebangsaan kali ini dan bukannya timbul isu boikot.

Menurutnya, seperti semua sedia maklum penjaga gol utama, S Kumar sudah mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa baru-baru ini, manakala pemain lain mempunyai alasan tersendiri mengapa menolak untuk menyertai kem kebangsaan.

"Mereka mempunyai alasan berbeza dan selepas ini mereka akan memberitahu anda (wartawan). Salah seorang dari mereka akan beraksi di liga luar negara," katanya dalam sidang media hari ini.

Empat lagi pemain senior yang tidak berada dalam senarai berkenaan ialah Sukri Mutalib, Joel Van Huizen, pasangan adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari serta Nabil Fiqri Mohd Noor. "Sebelum senarai nama ini dikeluarkan kita ada bertemu dengan pemain tidak tersenarai dan berbincang. Ia bukan disebabkan boikot tapi pelbagai sebab seperti ada yang bekerja dan bermain di luar negara.

"Pintu tidak tertutup buat mereka tapi kita perlu faham ada kalanya mereka mempunyai sebab berbuat demikian. Mereka perlu memulakan karier di luar bidang sukan," katanya.

Selepas saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) melabuhkan tirai secara rasmi Sabtu lalu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan senarai 34 pemain bagi mengikuti kem latihan pusat.

Mereka akan mula menjalani sesi latihan pada 2 Mac ini dan akan dinilai selama tiga minggu sebelum ia dipendekkan kepada 25 pemain.

Skuad ini akan menyertai Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, Ipoh Perak yang akan berlangsung pada 11 hingga 18 April 2020, dengan sasaran yang diletakkan MHC ialah mara ke perlawanan akhir.

Menerusi senarai diumumkan, nyata beberapa pemain muda serta 11 muka baru diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dengan 16 pemain dipanggil adalah pemain yang beraksi bersama kelab Tenaga Nasional Berhad (TNB), lapan pemain daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), lima pemain daripada Terengganu Hockey Team (THT), empat lagi daripada Maybank dan seorang pemain Hockademy KL.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 10:55pm
d