arena

'Kami lemah, gagal' - Lampard

Oleh AFP

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard mengakui kekalahan 0-3 kepada Bayern Munich pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara adalah realiti betapa kelab itu ketinggalan jauh di pentas elit Eropah.

Lampard mengetuai Chelsea ketika menewaskan Bayern pada final 2012 namun perbezaan antara kedua-dua pasukan ketika ini agak ketara dan ia terbukti di Stamford Bridge.

Dua gol Serge Gnabry pada awal separuh masa kedua adalah ganjaran kepada dominasi Bayern di babak pertama yang terlepas beberapa peluang terbaik selain ketangkasan penjaga gol Chelsea, Willy Caballero menafikan percubaan pelawat.

Robert Lewandowski menambah jaringan ketiga 14 minit sebelum tamat perlawanan sekali gus gol ke-11 diraihnya pada saingan Liga Juara-Juara musim ini.

“Kadang-kadang anda perlu bersikap jujur. Kami gagal bersaing hampir di setiap posisi.

“Adakah saya terkejut? Saya rasa kami mampu melakukan lebih baik lagi. Lawan menunjukkan kemampuan sebenar dan sebab itulah mereka ketika ini di kedudukan teratas Bundesliga dan konsisten beraksi di Liga Juara-Juara,” kata Lampard.

Chelsea kekal di kedudukan terbaik untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan selepas berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, lima kemenangan daripada 15 perlawanan liga adalah amaran jelas bahawa Chelsea bakal bergelut untuk bersaing di aksi kalah mati Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 9:12am
d