arena

Woods sedia pertahan kejuaraan

Oleh Reuters

TIGER Woods berkata beliau akan melakukan persediaan untuk saingan Masters tahun ini sama seperti tahun lalu yang menyaksikannya menamatkan penantian selama 11 tahun untuk memenangi kejuaraan utama di Augusta National.

Woods melakukan penampilan semula yang luar biasa selepas menjalani pembedahan pada 2017 apabila menamatkan saingan itu dengan hanya kelebihan satu pukulan selepas pada satu ketika ketinggalan.

“Persediaan adalah seperti tahun lalu. Ia membuahkan hasil pada tahun lalu.

“Saya dapat memenuhi impian saya dan harap akan dapat ‘mood’ yang sama tahun ini,” katanya.

Woods yang sudah beraksi di tiga siri Jelajah PGA musim ini, tidak mendedahkan jadual kejohanan yang bakal disertainya menjelang saingan Masters bermula 9 hingga 12 April.

Dia bagaimanapun menegaskan akan cuba sedaya upaya berada pada prestasi terbaik bagi menghadapi kejuaraan utama tahun ini.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, dia kembali memfokuskan kepada usaha untuk mempertahankan kejuaraan Masters sejak Disember tahun lalu ketika mengetuai pasukan Amerika Syarikat (AS) di Piala Presiden di Australia.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 11:26am
d