arena

Menanti ledakan pertama Mintah

Oleh Malik Muhamad

PENYERANG import baharu Terengganu FC ll (TFC ll), Jordan Mintah mengidam untuk meledak gol pertamanya dalam penampilan sulung kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Penjaring terbanyak Liga Filipina musim lalu ketika menyarung jersi kelab Kaya FC itu juga mengakui tidak sabar untuk turun beraksi pada perlawanan Liga Perdana bertemu Selangor ll di Stadium UiTM Shah Alam, Ahad ini.

“Seperti yang anda lihat semua pemain dan barisan kejurulatihan sudah buat yang terbaik untuk perlawanan pertama itu nanti. Jadi saya fikir kami sudah bersedia sepenuhnya untuk bermain.

“Sebagai pemain, sudah tentu ada sasarannya yang tersendiri iaitu meledak seberapa banyak gol selain mahu jaringan pertama bagi menaikkan semangat rakan sepasukan biarpun saya bermain dengan strategi, posisi dan formasi sedikit berbeza berbanding di Filipina.

“Bagaimanapun itu bukan menjadi penghalang buat saya, sebaliknya tetap akan lakukan yang terbaik dan harapan tahun ini dapat berada di puncak liga,” kata Mintah ketika ditemui di Padang C Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.

Selepas hampir tiga bulan tidak beraksi dalam pentas perlawanan sebenar, Mintah akui perasaannya kian teruja terutama selepas dinobatkan sebagai penyerang terbaik selama tiga musim berturut-turut bermula 2017 di Liga Filipina.

Malah pemain berusia 24 tahun itu yang berpengalaman beraksi di pentas Piala AFC juga muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Filipina 2019 dengan merekodkan 31 gol.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 11:44am
d