arena

Grantt suntik semangat Hafizh Syahrin

Oleh Aida Adilah Mat

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah boleh menarik nafas lega dengan kehadiran UMW Grantt International Sdn Bhd sebagai salah satu penajanya untuk menempuh sesi 2020.

Dia hanya memerlukan 40 peratus lagi penajaan bagi melengkapkan tajaan menghadapi saingan Kejohanan Dunia MotoGP yang akan bermula di Qatar pada 8 Mac ini.

Kehadiran Grantt nyata menyuntik semangatnya untuk melakarkan lebih banyak kejayaan dalam saingan biarpun masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera Moto2 selepas beralih daripada saingan MotoGP musim lalu.

Hafizh yang ditemui pada sidang media di majlis menandatangani perjanjian penajaan di Kementerian Belia dan Sukan hari ini berkata, dia akan cuba yang terbaik untuk melakarkan lebih banyak kejayaan.

“Saya tidak boleh janji menang kesemua perlumbaan tapi saya janji untuk buat yang terbaik dan harumkan nama negara serta keluarga selain membawa jenama Grantt ke hadapan.

“Buat masa ini saya perlu mengubah cara kerja untuk menyesuaikan diri dengan jentera Moto2 kerana ia berbeza dengan MotoGP.

“Terima kasih atas sokongan daripada Grantt, SIC (Litar Antarabangsa Sepang) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan). Saya akan berusaha cuba memperbaiki dari menjelang perlumbaan ujian dan perlumbaan sebenar di Qatar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pembuatan dan Kejuruteraan UMW, Datuk Abdul Rashid Musa berharap, kehadiran Grantt dapat membantu jenama tempatan untuk mengorak langkah ke peringkat lebih tinggi bersama Hafizh Syahrin.

Katanya, pemberian tajaan kepada pelumba nombor satu negara itu adalah kerana menganggap Hafizh sebagai ikon permotoran negara dan belia yang meminati sukan permotoran selain memberi inspirasi kepada belia untuk menceburi bidang permotoran.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 8:06pm
d