arena

Sasar ramai remaja tonton perlawanan badminton

Oleh Syazwan Msar

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) melakukan pelbagai inisiatif supaya lebih ramai golongan muda mendapat pendedahan dalam sukan berkenaan antaranya dengan mengagihkan tiket Celcom Axiata Terbuka Malaysia kepada 300 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil hari ini.

Malah, penuntut yang bertuah terbabit turut berpeluang beramah mesra bersama bekas pemain kebangsaan Hafiz Hashim dan perseorangan wanita negara, S Kisona.

Hafiz berkata, program berkenaan memberi pendedahan kepada golongan muda untuk bergiat aktif dalam sukan terbabit pada masa akan datang.

“Menerusi program seperti ini dapat menaikkan lagi minat penuntut untuk menceburi sukan badminton malah datang dan memberi sokongan kepada pemain negara di Celcom Axiata Terbuka Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Kisona pula berkata, program seumpama itu adalah kali pertama disertai seterusnya gembira dengan sambutan dan reaksi daripada mahasiswa UiTM.

“Ini adalah sesi yang pertama kali pernah saya sertai dan melihat reaksi penuntut yang teruja untuk memberikan sokongan kepada pemain dan kejohanan badminton itu nanti,” katanya.

Sebanyak 180 keping tiket diberikan oleh Hafiz Hashim dan S Kisona kepada penuntut bertuah menerusi aktiviti kuiz dan permainan yang disediakan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Akademik, Penyelidikan dan Inovasi, Dr Ikhwan Naim Mad Nawi dan Penolong Pendaftar Kanan, Nor Hisyam Husin.

Dalam pada itu, Hafiz mengharapkan saingan Kejohanan Badminton Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2020 dimanfaatkan dengan sebaik baiknya pemain negara apatah lagi beraksi di laman sendiri.

Kehadiran pemain terbaik dunia yang akan berkampung di Axiata Arena bermula 31 Mac sehingga 5 April depan bukan hanya mahu memburu gelaran juara, namun menjadi medan untuk meraih lebih banyak mata bagi mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada Julai nanti.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 10:23pm
d