arena

Segalanya belum berakhir - Guardiola

Oleh AFP

PEP Guardiola memberi amaran kepada pemain Manchester City bahawa cabaran Real Madrid tidak boleh diambil mudah selepas mereka mencipta kejutan apabila menang 2-1 pada saingan peringkat pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

City menggegar gawang dua kali dalam tempoh 12 minit terakhir menerusi Gabriel Jesus dan penalti Kevin De Bruyne sekali gus kemenangan pertama dalam sejarah ke atas juara Eropah 13 kali itu.

Madrid turut bakal beraksi tanpa kapten, Sergio Ramos pada peringkat kedua selepas dibuang padang pada lewat permainan susulan mengasari Jesus tetapi Guardiola tetap resah mengenangkan Madrid yang kerap mencipta kebangkitan dalam sejarah Liga Juara-Juara.

"Ia hanyalah babak pertama, bukan tiga mata. Jika satu pasukan mampu mengatasi situasi ini, pengalaman, segalanya, ia adalah kelab ini tetapi sudah tentu keputusan yang bagus,” kata Guardiola kepada BT Sport.

"Saya sangat bangga tetapi ia hanya langkah pertama, kami ada perlawanan lain, ia belum tamat. Jadi perlu tenang, nikmati saat ini. Ahad ini kami ada final, teruskan momentum dalam Liga Perdana dan bersedia untuk aksi kedua menentang Madrid.”

Guardiola sekali lagi mengejutkan apabila tidak menurunkan Raheem Sterling, Sergio Aguero, David Silva dan Fernandinho yang hanya memanaskan bangku simpanan.

Jesus beraksi pada posisi bukan kebiasaan di bahagian kiri tetapi kemasukan Sterling pada babak kedua menolak pemain Brazil itu ke atas dan terbukti berhasil.

Selepas Jesus menanduk masuk hantran De Bruyne, Sterling dijatuhkan Dani Carvajal dalam kotak penalti.

"Mereka terus menekan kami dan pertahanan terpaksa bekerja keras, kami dapat melihat ruang. Gabriel sangat pantas dan Riyad (Mahrez) boleh melakukannya," kata Guardiola.

"Pada akhirnya kami tahu pada tempoh 20-30 minit terakhir, Raheem juga sangat pantas.”

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 7:32am
d