arena

Tousart buat Juventus merana

Oleh Reuters

HARAPAN Juventus mara ke peringkat lapan terakhir Liga Juara-Juara terjejas apabila pemenang dua kali Piala Eropah itu tewas 0-1 di Olympique Lyonnais dalam aksi pertama 16 terakhir, awal pagi tadi.

Pemain tengah, Lucas Tousart menjaringkan gol tunggal pada babak pertama sekali gus mencerahkan peluang Lyon mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 2010 dan juga kemenangan sulung mereka ke atas Juventus yang mengalami kekalahan pertama dalam kejohanan itu musim ini.

Pendahulu Serie A, Juventus kekurangan kualiti dengan Cristiano Ronaldo juga hambar dan mereka perlu perbaiki kelemahan pada aksi kedua 17 Mac jika mahu pergi lebih jauh.

Di atas padang, Lyon berada dalam prestasi terbaik dengan Houssem Aouar dan pemain terbaharu mereka, Bruno Guimaraes kerap mencetuskan masalah kepada benteng pelawat.

"Kami bukan pilihan tetapi kami yakin mampu mengejutkan Juventus,” kata pemain tengah, Aouar.

"Tetapi semua belum tamat, ada satu lagi perlawanan.”

Juventus hanya menang empat kali daripada lapan perlawanan kompetitif terakhir dan kapten, Leonardo Bonucci tetap menganggap pasukan itu semakin baik.

"Kami serba tidak menjadi pada babak pertama, kadang-kadang ia berlaku,” katanya. “Mereka menjaringkan gol ketika mereka sangat bagus menekan kami.”

Selepas bermula dengan permainan berhati-hati, Lyon hampir memecah kebuntuan gol apabila tandukan Karl Toko-Ekambi hasil sepakan Houssem Aouar terkena palang. '

Aouar kemudiannya memperdayakan pertahanan lawan dan menghantar bola kepada Tousart yang tenang merembat dari jarak dekat untuk membolehkan kelab Perancis itu mendahului selepas 31 minit.

Juve beraksi 10 pemain seketika apabila Mathias De Ligt menerima rawatan akibat hidung berdarah selepas secara tidak sengaja terkena kaki rakan sepasukan, Alex Sandro.

Pelawat turut mengancam menerusi serangan balas pantas namun percubaan Ronaldo tersasar pada lewat babak pertama.

Gergasi Itali itu meningkatkan serangan selepas rehat memaksa Lyon lebih banyak bertahan.

Paulo Dybala hampir menyamakan kedudukan menerusi voli dengan pemain gantian, Gonzalo Higuain kerap membazirkan peluang dan jaringan Dybala dibatalkan angkara offsaid.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 8:16am
d