arena

Kantung Red Devils susut

Oleh AFP

OLE Gunnar Solskjaer berkata, kewangan kelab akan terus berdepan masalah jika mereka gagal layak ke Liga Juara-Juara.

United bersiap sedia menentang Club Brugge dalam saingan 32 terakhir Liga Europa awal pagi esok selepas seri 1-1 di tempat lawan pada peringkat pertama.

Kejohanan itu memberikan peluang terbaik untuk mereka layak ke Liga Juara-Juara selepas berdepan saingan sengit dalam Liga Perdana.

Kegagalan layak ke kejohanan berprestij Eropah itu buat kali kedua berturut-turut menyukarkan United menarik minat pemain berprofil tinggi untuk memperkasakan pasukan.

United mencatat keuntungan £627.1 juta tahun lalu tetapi kelab menjangkakan penurunan dengan hanya sekitar £560 juta hingga £580 juta pada 2020.

Keuntungan suku ketiga yang dikeluarkan semalam menunjukkan hasil penyiaran merosot ketara susulan ketiadaan United dalam kempen Liga Juara-Juara.

"Kami kelab besar dan mempunyai kewangan yang kukuh,” kata Solskjaer ketika sidang akhbar, awal pagi tadi.

"Tetapi sudah tentu lebih lama anda tidak berada di sana, lebih banyak anda menerima kesan. Jadi sudah pasti menjadi hasrat kami mara ke Liga Juara-Juara, kedua-duanya kerana bola sepak dan kewangan yang dapat membantu kelab.

"Kami perlu fokus perlawanan seterusnya, kejohanan sekarang dan selepas ini aksi liga. Piala FA pula Khamis depan, diikuti aksi liga dan harap lebih banyak aksi Eropah. "

Pengendali dari Norway itu berkata, kedatangan Bruno Fernandes bulan lalu melonjakkan prestasi pasukan apabila melonjak ke tangga kelima Liga Perdana.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 9:22am
d