arena

Koepka tekad pulih reputasi

Oleh AFP

JUARA empat kejohanan utama, Brooks Koepka berkata, dia kini cergas dan dalam proses memulihkan reputasi selepas pulih kecederaan lutut menjelang Jelajah PGA Honda Klasik Amerika Syarikat, esok.

Pemain nombor tiga dunia, Koepka berharap dapat mencapai prestasi terbaik di Masters pada April depan selepas bergelut memulihkan kecederaan di lutut kiri yang memerlukan rawatan terapi pada Ogos lalu.

Dia terlepas cut pada Oktober lalu di Las Vegas dan gagal mempertahankan gelaran di Korea Selatan selepas mengalami kecederaan lutut memaksanya menarik diri daripada menyertai Piala Presiden. Koepka juga berkongsi kedudukan di tangga ke-34 di Riviera dalam kejuaraan pertamanya di AS tahun ini.

"Saya beraksi dengan buruk,” kata Koepka. “Lutut sangat penting. Saya tidak akan beraksi jika lutut sakit atau tidak selesa seterusnya gagal bertanding pada tahap terbaik.”

"Semuanya lebih bagus daripada yang kami jangkakan pada masa sekarang. Ia stabil dan baik.”

Pemain Amerika Syarikat berusia 29 tahun itu mahu memburu gelaran ketiga berturut-turut Kejohanan PGA pada Mei depan di Harding Park, San Francisco selain trofi ketiga Terbuka AS dalam masa empat tahun pada Jun depan di Winged Foot, New York.

Koepka turut berharap dapat menukar nasibnya dengan aksi konsisten dan kejayaan di Palm Beach Gardens, Florida.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 11:54am
d