arena

Tiga import baru nadi Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

PEMAIN Pahang, Mohamadou Sumareh percaya tiga import baru skuad itu mampu menyerlah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sumareh berkata, penampilan mereka bakal disaksikan apabila skuad Tok Gajah menerima kunjungan Selangor pada perlawanan pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

“Inilah masanya mereka akan memberikan segalanya buat Pahang biarpun baru bersama pasukan. Tapi dengan pengalaman yang ada sudah pasti mereka dapat melakukan yang terbaik.

“Saya juga berpuas hati dengan komitmen mereka dan rakan lain untuk memastikan Pahang beroleh kejayaan bermakna musim ini.

“Biarpun kami digandingkan agak lewat dan hanya mengadakan beberapa perlawanan persahabatan, kami akan memberikan yang terbaik,” kata pemain berumur 25 tahun itu.

Tiga pemain import baru skuad Tok Gajah musim ini ialah Ivan Carlos dari Brazil, Adam Reed (Filipina) dan Khalil Khamis (Lubnan), masing-masing bertindak selaku penyerang, pemain tengah dan pertahanan.

Dua pemain import musim lalu yang kekal ialah Dickson Nwakaeme dari nigeria dan Herold Goulon (Perancis).

Ditanya pertemuan dengan Red Giants Sabtu ini, Sumareh tidak menafikan cabaran besar bakal menanti skuad itu memandangkan lawan turut menyenaraikan Safuwan Baharudin yang juga bekas rakan sepasukan.

Namun, katanya, skuad itu akan memastikan perlawanan pertama Liga Super akan memihak kepada Pahang sekali gus mengutip tiga mata.

“Oleh itu sokongan padu peminat dinantikan untuk memberi semangat kepada kami beroleh kemenangan ke atas Selangor,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 5:14pm
d