arena

Mun Yee-Pandelela uji keserasian

Oleh Aida Adilah Mat

PENERJUN negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee akan memulakan misi memburu emas pertama di temasya Olimpik Tokyo dengan menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia pertama di Montreal, Kanada esok.

Ia adalah misi penting buat kedua-dua penerjun itu dalam mempersiapkan diri sebelum Olimpik Tokyo, Julai nanti.

Bagi Pandelela, dia memulakan tahun ini di kejohanan berkenaan dengan siri kedua di Beijing, China dibatalkan ekoran wabak koronavirus sebelum terbang ke Kazan, Russia untuk siri ketiga 20 Mac ini.

Begitupun ia bukan satu masalah buat atlet berkenaan memberi fokus 100 peratus di pertandingan berkenaan dengan berharap peminat di Malaysia akan terus mendoakan kejayaannya.

“Saya sangat teruja untuk menyertai pertandingan pertama tahun ini. Saya akan beraksi dalam acara 10m seirama bersama Mun Yee dan kemudian 10m platform individu. Doakan kejayaan saya,” katanya.

Sementara itu, penerjun berpengalaman negara Mun Yee turut mengharapkan dapat melakukan yang terbaik bersama Pandelela.

Gandingan mereka dilihat tidak mempunyai masalah membentuk keserasian bersama berdasarkan pencapaian meraih perak di Kejohanan Dunia FINA ke-18 Gwangju tahun lalu.

Kejayaan itu juga menghadiahkan tiket awal buat pasangan negara ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Mereka itu sebelum ini melakar sejarah sebagai penerjun pertama negara memenangi pingat di Kejohanan Dunia di Rome (2009) dengan meraih gangsa dan sekali lagi mereka memenangi pingat sama pada 2013 di Barcelona.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 7:20pm
d