arena

Fernandes belanja sakan

Oleh Agensi

SELEPAS menikmati permulaan cemerlang di Manchester United, pemain baru kelab berkenaan yang bernilai 68 juta pound (RM369 juta), Bruno Ferandes menyelesaikan perkara di luar padang pula.

Dia yang menyertai United dari kelab Portugal, Sporting Lisbon bulan lalu, dilihat membeli-belah bersama isterinya, Ana Pinto di pasar raya, Tesco di Altrincham.

Pasangan berkenaan membeli barang keperluan untuk memulakan kehidupan baru di Manchester apabila troli mereka penuh dengan pelbagai barangan ketika dilihat menuju ke tempat parkir kereta.

Antara barang yang dibeli Fernandes dan isterinya, ialah papan seterika baju, rak pengering, pengemop lantai, tisu tandas beberapa botol minuman ringan, baldi dan pelbagai lagi barangan keperluan rumah.

Pemain antarabangsa Portugal itu, yang kali pertama berkenalan dengan isterinya ketika berusia 16 tahun di sekolah, dilihat mula menyesuaikan diri dengan kelab barunya termasuk meledak gol sulung untuk membantu United menang 3-0 ke atas Watford.

“Kami rasa mendapat sedikit tenaga tambahan berkualiti dengan kehadiran Bruno ke dalam pasukan ini.

“Kedatangannya memberikan perisa yang berbeza. Dia suka bermain dengan corak hantaran ke depan dan kadang kala mengambil risiko. Itulah cara yang perlu dilakukan pemain Manchester United,” kata pengurus pasukan Ole Gunnar Solskjaer.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 10:14pm
d