arena

Selamat tinggal Arsenal

Oleh AFP

JARINGAN Youssef El-Arabi pada lewat permainan masa tambahan membantu Olympiakos menewaskan Arsenal sekali gus menyaksikan bekas juara Eropah itu tersingkir awal di saingan Piala Europa.

Arsenal, finalis Liga Europa musim lalu, sebelum ini mencatat kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama pusingan ke-32 di Greece.

Bagaimanapun kemenangan 2-1 Olympiakos di Stadium Emirates menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat namun Olympiakos mara menerusi kelebihan gol di tempat lawan.

Pemain pertahanan Olympiakos, Pape Abou Ciss memadam kelebihan Arsenal apabila menanduk masuk bola berpunca dari sepakan penjuru pada minit ke-53.

Arsenal kemudian dipaksa untuk beraksi pada masa tambahan dan mereka dilihat hampir meraih kemenangan selepas Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol minit ke-113.

Bagaimanapun, pada minit akhir masa tambahan, El Arabi memusnahkan impian Arsenal dengan gol kemenangan berpunca dari sepakan penjuru.

“Ia perlawanan yang sangat sukar. Gol minit akhir yang diperolehi lawan membuatkan kami tidak bernasib baik,” kata Aubameyang.

“Amat mengecewakan. Kami hampir berpeluang untuk mencipta kemenangan dengan selesa,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 8:12am
d