arena

Wark yakin TFC cemerlang tampanya

Oleh Malik Muhamad

PEMAIN berstatus kacukan Malaysia-Scotland, Stuart Wark meluahkan rasa kekesalan kerana tidak dapat membantu skuad baharunya, Terengganu FC (TFC) bertemu Perak pada aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Ini berikutan bekas pemain PDRM musim lalu itu yang mampu beraksi di posisi tengah dan pertahanan, mengalami kecederaan lutut yang memaksanya berehat beberapa minggu sebelum kembali mewarnai skuad Penyu itu.

Pemain berusia 31 tahun itu yang mula mewarnai pentas Liga Malaysia (Liga M) pada 2015 ketika mewakil Johor Darul Ta'zim II (JDT II), adalah antara pemain tonggak skuad itu musim ini selain seorang lagi pemain berdarah campuran Malaysia-England, Darren Lok.

“Saya sedikit terkilan kerana tidak dapat membantu pasukan dalam aksi pertama malam esok kerana kecederaan saya belum pulih sepenuhnya.

“Tetapi bagusnya saya jangka kecederaan ini tidak akan berpanjangan. Mungkin hanya beberapa minggu sahaja, selepas itu saya yakin akan pulih sepenuhnya.

“Tapi saya perlu terus menguatkan diri saya dan menjalani pemulihan bagi memastikan keadaan ini tidak berpanjangan,” kata Wark yang mengakui teruja mewakili pasukan dari Pantai Timur itu.

Mengulas lanjut, Wark akui tanpanya skuad bimbingan Nafuzi Zain itu sudah bersedia sepenuhnya untuk mengutip tiga mata menentang skuad The Bos Gaurus itu lebih-lebih lagi apabila beraksi di tempat sendiri.

“Pasukan begitu bersedia bertemu Perak. Ketika sesi latihan dan aksi persahabatan pramusim, kami bermain baik dan saya harapkan rakan sepasukan mampu peragakan aksi terbaik sekali gus dapat meraih tiga mata dalam aksi pertama,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 12:47pm
d