arena

Lewis dikelas tersendiri

Oleh Reuters

TOM Lewis melakukan sama seperti yang pernah dilakukan Nick Faldo apabila mendahului hari pertama tanpa melakukan bogey dengan catatan empat bawah par 66 di sebalik berdepan angin kencang di Honda Classic, Florida.

Lewis menyertai Harris English dengan kelebihan satu pukulan di hari yang menyaksikan Brooks Koepka melakukan triple bogey dan double bogey untuk catatan par 74 dalam situasi yang sangat mencabar di lapangan Palm Beach Gardens.

Lewis berasal dari Welwyn Garden City di Selatan England, sama seperti Faldo yang pernah popular apabila melakukan par di setiap lubang pada pusingan terakhir untuk memenangi Terbuka British pada 1987 di Muirfield.

“Tidak melakukan bogey bagi saya adalah pencapaian yang sangat besar," kata pemain yang menduduki ranking ke-57 dunia itu.

“Ia sangat sejuk pada sebelah pagi. Saya tidak menjangkakan mampu beraksi sebaik ini.

“Saya juga tidak mengalami sebarang tekanan ketika beraksi. Ia adalah permulaan yang cukup baik,” katanya.

Lewis memenangi Kejohanan Jelajah Korn Ferry tahun lalu dan kemudian layak beraksi di Jelajah PGA. Bagaimanapun dia bermula buruk pada musim pertamanya apabila gagal melepasi cut sebanyak empat kali.

Ia mungkin menyebabkanya tidak mahu berasa terlalu yakin selepas berakhir pusingan pertama.

“Saya bukanlah seorang yang penyabar. Saya mungkin mampu beraksi dengan baik ketika awal karier jika sentiasa bersikap positif terhadap diri sendiri,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 2:47pm
d