arena

Nwakaeme, Carlos taruhan Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

GANDINGAN Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos menjadi taruhan mengemudi jentera serangan skuad Pahang apabila melayan kunjungan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Dua penyerang import yang kali pertama digandingkan itu diharap memberi tekanan kepada Red Giants kerana masing-masing mahu mengutip tiga mata pada aksi pertama liga itu.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, walaupun sebelum ini Carlos dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dalam skuad itu tetapi dia sudah menunjukkan perkembangan positif.

"Bagi saya, pengalaman di peringkat tertinggi bersama beberapa kelab akan membantu Carlos untuk bermain dengan baik dan membantu pasukan meraih kemenangan.

"Begitu juga pemain lain yang diharap bermain pada prestasi terbaik dan memastikan tiga mata dikutip di laman sendiri," kata Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan.

Mengulas kehilangan Matthew Davies yang juga bekas kapten pasukan, Dollah mengakui lega kerana posisi pertahanan kanan kini diambil alih S Kumaahran.

Beliau berpuas hati dengan komitmen Kumaahran walaupun kali pertama bertukar posisi dalam usaha mengukuhkan kubu pasukan.

"Memang kehilangan Davies dirasai kerana dia pergi ketika saingan liga semakin hampir bermula yang turut memberi kesan terhadap persiapan pasukan.

"Tapi kita sudah ada pengganti dan diharapkan Kumaahran dapat menjalankan tanggungjawab itu," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 7:50pm
d