arena

Red Giants azam kejutkan Tok Gajah

Oleh Firdaus Hashim

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan mensasarkan tiga mata penuh apabila mereka membuka tirai Liga Super musim ini menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, esok.

Katanya, walaupun terpaksa mengharungi aksi pertama di gelanggang lawan namun ia bukan misi mustahil untuk mengejutkan skuad Tok Gajah di depan penyokong mereka sendiri.

Sebaliknya, tekanan akan lebih dirasai tuan rumah dan beliau percaya barisan pemain sudah bersedia untuk menampilkan aksi terbaik.

“Perlawanan pertama selalunya sukar, tetapi dengan motivasi yang terbaik dalam pasukan tak mustahil untuk buat sesuatu.

"Kita sudah mengharungi pramusim dengan baik dan beberapa kelemahan sudah diperbetulkan, tinggal sekarang bagaimana pemain-pemain akan menterjemahkan ian dalam aksi kompetitif pula," kata bekas jurulatih kebangsaan itu.

Bercakap mengenai kedudukan penyerang import, Rufino Segovia, beliau mengakui penjaring terbaik Liga Malaysia pada musim 2018 itu semakin menemui sentuhan pemusnahnya selepas bergelut dengan kecederaan sepanjang musim lalu.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk mengunci mulut mengenai status Rufino sama ada akan diturunkan atau sekadar memanaskan bangku simpanan.

"Kita masih pantau tahap dia (Rufino) dan berdasarkan perkembangan semasa, nampak dia perlahan-lahan berusaha mencapai prestasi terbaiknya.

"Kalau boleh saya memang nak dia main tapi kita kena pastikan dia benar-benar bersedia, kerana kita tidak mahu kecederaan lama berulang lagi," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 8:56pm
d