arena

Mat Parit jumpa kawan lama di Rwanda

Oleh Ferzalfie Fauzi

LAIN atlet lain caranya untuk menghilang tekanan mahupun kegugupan mengambil bahagian di mana-mana pertandingan, begitu juga dengan pelumba Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Shahrul Mat Amin.

Baru-baru ini Shahrul atau terkenal dengan nama timangan Mat Parit sempat memuatnaik gambar di media sosial sama ada sebelum atau selepas perlumbaan dia bergambar dengan penduduk Rwanda.

"Lama tak jumpa kawan masa zaman kanak-kanak dulu, 'geng' main bola lari laju semua ni. Nasib baik mereka ingat lagi ke kite," kata Shahrul berseloroh sambil ramai yang memberi komen di Facebook pelumba berusia 30 tahun itu.

Salah seorang rakannya di Facebook yang juga pelumba TSG, Zamri Salleh menegur pelakuan seorang penduduk Rwanda yang meletakkan kepala di bahu Shahrul.

Hanya Shahrul seorang sahaja pelumba tempatan yang dibariskan TSG di perlumbaan berstatus 2.1 itu, empat lagi taruhan pasukan benua ialah Metkel Eyob, Carlos Quintero, Robin Jurado dan Maral Batmunkh.

Pencapaian terbaik Shahrul setakat ini sepanjang kariernya ialah berjaya muncul juara kebangsaan sebanyak dua kali iaitu pada 2011 dan 2013.

Dia tidak menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini kerana pasukan berkenaan terpaksa dibahagikan kepada dua, dengan sebahagian pelumba beraksi di perlumbaan sulung Tour Saudi.

Bagaimanapun, dia berpeluang beraksi dengan pelumba handalan dunia seperti pemenang peringkat sebanyak 30 kali Tour de France, Mark Cavendish, juara Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Dunia 2013, Rui Costa dan juara peringkat tiga kali Giro d'Italia, Nacer Bouhanni.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 9:15pm
d