arena

Amaran Bottas

Oleh Reuters

PASUKAN juara Formula Satu, Mercedes muncul pasukan paling pantas menjelang aksi pembuka tirai di Australia, 15 Mac ini tetapi Ferrari dan Red Bull turut memberi saingan sengit.

Valtteri Bottas mencatat masa terpantas sepanjang enam hari sesi ujian di Litar Catalunya termasuklah pada hari terakhir semalam.

Pemandu Finland itu mencatat masa terpantas 1 minit 15.732s pada minggu lalu dan dia juga terpantas pada hari terakhir dengan catatan 1:16.196s.

“Jentera nampak sangat laju sepanjang sesi ujian dan ia menjadi detik yang menarik untuk kami meneroka potensi baru,” kata pengarah teknikal, James Allison.

“Masih ada beberapa lagi perkara yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap yang dimahukan menjelang perlumbaan pertama. Jika kami mampu melakukannya, saya rasa mampu membuktikan sesuatu di Melbourne,” katanya.

Mercedes sedang memburu kejuaraan dunia berganda kali ketujuh berturut-turut dengan Lewis Hamilton juga berusaha untuk mendapatkan gelaran juara dunia buat kali ketujuh sekali gus menyamai rekod Michael Schumacher.

Pemandu Britain itu berkata, dia mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap pasukannya untuk menyelesaikan beberapa isu dan bersedia beraksi di pusingan pertama.

Hamilton dan Bottas melengkapkan ujian sebanyak 787 kilometer (km) dengan Hamilton melakukan 90 pusingan manakala Bottas 79 pusingan.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 12:08pm
d