arena

'Jangan layan mereka seperti sampah'

Oleh Malik Muhamad

“SAYA begitu sedih apabila Faizal dan adiknya, Fitri (Saari) dilayan seperti sampah sedangkan mereka wira negara dan ada maruah diri.

“Jika tidak mahu lagi guna khidmat dua pemain adik beradik itu, bagilah mereka bersara secara baik dan bukannya gugur dengan alasan yang tidak masuk akal,” kata bekas pemain kebangsaan yang enggan mendedahkan namanya.

Beliau terpanggil untuk menyuarakan pendapat berkenaan selepas kecewa dengan tindakan jurulatih pasukan hoki kebangsaan dari Belanda, Roelant Oltmans yang menyingkirkan dua pemain itu dalam senarai skuad kebangsaan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh April depan.

Katanya penyingkiran dua pemain yang masih muda itu adalah kurang tepat ketika pasangan adik-beradik itu kini berada dipuncak prestasi sejak bergelar pemain kebangsaan ketika berusia 17 dan 18 tahun lagi.

Beliau melihat ada 'sesuatu' yang tidak kena di sebalik keputusan Otlmans yang tidak menyenaraikan dua pemain prolifik Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu.

“Keputusan yang dibuat ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan pada saya tidak begitu tepat, macam ada sesuatu yang disembunyikan pengendali itu apabila tidak menyenaraikan pemain yang dikategorikan antara penyerang dan pemain tengah terbaik negara.

“Persoalan ini juga bermain di kalangan peminat setia skuad kebangsaan susulan permata negara itu disisihkan. Peminat yang memberi maklum balas kepada saya berpandangan tindakan jurulatih itu kurang bijak kerana Faizal adalah penyerang terbaik negara yang sukar dicari ganti begitu juga Fitri.

"Malah dua pemain itu di pandang kuasa besar hoki dunia sebagai pemain yang digeruni dan harus dikawal ketat. Buktinya sepanjang 247 penampilan mewakili negara, Faizal sudah meledak 170 gol.

“Dalam sejarah penyerang pasukan negara, setakat ini belum ada lagi pemain di Malaysia yang berjaya merekod jaringan sebanyak itu.

“Musim ini dalam saingan Liga Hoki Malaysia, Faizal muncul penjaring kedua terbanyak dengan meledak 14 gol,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 2:01pm
d