arena

Fadhil lebur rekod 11 tahun

Oleh Aida Adilah Mat

PELUMBA muda negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis berjaya mencipta sensasi dalam acara 1 kilometer ujian masa individu di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di The Velodrom, Berlin, Jerman biarpun gagal menghadiahkan pingat buat negara.

Fadhil kini melakarkan nama sebagai pemegang rekod baru acara itu memadamkan rekod lama milik Rizal Tisin yang berusia 11 tahun.

Pelumba kelahiran Selangor itu mencatatkan masa 1 minit 00.305 saat untuk memadamkan rekod Rizal Tisin, 1:01.658s yang dilakukannya ketika memenangi gangsa di Kejohanan Dunia di Pruszkow, Poland pada 2009.

Rekod kebangsaan itu dilakukan oleh Fadhil, 22, pada pusingan kelayakan untuk berkedudukan tempat ketujuh sekali gus membolehkannya mara ke pusingan akhir 1km ujian masa.

Fadhil bagaimanapun menamatkan saingan di peringkat akhir di kedudukan kelapan dengan catatan 1:00.895s.

Pingat emas acara itu menjadi milik pelumba Belanda, Sam Ligtlee yang mencatatkan masa 59.495s diikuti dua pelumba Perancis, Quentin Lafargue dan Michael D'Almeida, masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga dengan perbezaan 0.254s dan 0.608s.

Dia bagaimanapun akan turun sekali lagi awal pagi ini bergandingan bersama dua pelumba negara iaitu Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut berpasukan.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 2:56pm
d