arena

Quintero ketiga terpantas Tour du Rwanda

Oleh Malik Muhamad

PELUMBA baharu Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Carlos Quintero pantas membuktikan pemilihannya berbaloi apabila berjaya menempatkan diri di tangga ketiga peringkat keenam Tour Du Rwanda semalam.

Pelumba kelahiran Colombia itu menamatkan perlumbaan berbukit setinggi 2,000 meter sejauh 127.3 kilometer dari Musanze ke Muhanga dengan catatan masa tiga jam sembilan minit dan 32 saat.

Quintero berjaya meraih kedudukan itu di belakang pelumba Patrick Schelling dari pasukan Israel Start Up-Nation di tempat kedua dan Jhonatan Restrepo Valencia dari pasukan Androni Giacatolli di tempat pertama dengan catatan masa yang sama.

Kejayaan itu sekali gus meletakkan pelumba itu di kedudukan ketiga terbaik keseluruhan di belakang pelumba Moise Mugisha dari Skol Adren Cycling Academy di tempat kedua dan Natnael Tesfazion dari Erythrea Team di tempat pertama.

"Pada awalnya kita telah menghantar seramai lima pelumba ke jelajah berkenaan iaitu Metkel Eyob, Maral Erden Batmukh, Mohd Shahrul Mat Amin, Cristofer Robin Jurado dan Quintero.

"Bagaimanapun pada peringkat ketiga Metkel terpaksa menarik diri kerana demam manakala Mohd Shahrul pula ditimpa kemalangan pada peringkat keempat menyebabkan cabaran di empat peringkat terakhir hanya dapat diteruskan tiga pelumba sahaja.

"Bagaimanapun selepas menghadapi pelbagai cabaran, kami berpuas hati dengan pencapaian pasukan di jelajah ini," ujar Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lima pelumba TSG yang diketuai Zamri Saleh di samping pelumba import dari Algeria, Youcef Reguigui, Goh Choon Huat, Nur Amirul Fakhuddin Mazuki dan Drew Morrey sudah berada di Taiwan bagi menyertai perlumbaan Tour de Taiwan 2020 yang dijadualkan selama lima hari bermula esok.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 7:17pm
d