arena

Budu, keropok jadi pilihan Mamat

Oleh Aida Adilah Mat

ANAK jati Terengganu mana boleh tinggal budu dan keropok. Pelumba lebuh raya negara yang mencipta fenomena ketika siri PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) yang lalu, Mohd Harrif Saleh berkata, dua makanan berkenaan antara yang sering menjadi makanan pilihannya.

“Saya makan belaka. “Kepok (kerepok) budu, makan belaka,” katanya.

Harrif yang turut dikenali dengan panggilan Mamat berkongsi makanan yang sering diambil olehnya sebelum berlumba.

Katanya, pisang, roti dan bar power gel antara yang sering diambil olehnya untuk menambah tenaga.

“Kebiasaannya saya tengok dulu jarak perlumbaan itu sebab pemakanan adalah paling penting bila berlumba. Biasanya kami makan dua jam sebelum perlumbaan.

“Kalau jarak itu jauh 160km ke atas, kena makan dengan kuantiti yang banyak dan tinggi karbohidrat tapi tak boleh makan makanan berminyak.

“Tapi kalau jarak dekat, saya makan ala kadar saja,” katanya.

Menurutnya, makanan adalah faktor utama yang perlu dititik beratkan dan pemenang pingat emas Sukan Sea 2017 itu menasihatkan untuk tidak berkayuh dengan perut kosong.

“30km pertama patut makan bar atau pisang sebab jika tunggu lapar baru nak makan memang menggigillah jawabnya,” katanya.

Harrif sebelum ini melakar sejarah muncul pelumba Asia pertama menang tiga peringkat LTdL dalam jelajah berstatus siri dunia itu.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 8:21pm
d