arena

Alonso bantu Chelsea seri

Oleh AFP

MARCOS Alonso meneruskan aksi sebagai penjaring gol dalam Liga Perdana apabila meledak dua jaringan ketika Chelsea bangkit mengikat kedudukan seri 2-2 di gelanggang lawan berdepan pasukan bergelut Bournemouth malam tadi.

Beberapa keputusan membantu Chelsea yang berada dalam kelompok empat teratas, ketika pemain pertahanan Alonso menjaringkan gol pembukaan menerusi rembatan voli susulan sepakan akrobatik Olivier Giroud terkena palang gol.

Tapi Bournemouth menyamakan kedudukan menerusi tandukan Jefferson Lerma pada minit ke 54 dan tiga minit kemudian the Cherries di depan menerusi jaringan Josh King.

Alonso bagaimanapun menafikan kemenangan penting the Cherries apabila menanduk masuk gol lima minit sebelum tamat permainan selepas Aaron Ramsdale menolak keluar rembatan Pedro Rodriguez.

Keputusan seri sekurang-kurangnya menafikan kekalahan kedua Chelsea beberapa hari selepas kekalahan memalukan 0-3 di gelanggang sendiri ke atas Bayern Munich dalam pusingan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara pada Rabu lalu.

“Kami menjangkakan saingan sengit dan mereka memberikan aksi yang sukar tapi kami harus menang perlawanan itu, kami lebih banyak menguasai bola dan mempunyai peluang,” kata pengurus Chelsea, Frank Lampard.

“Karater pasukan sangat hebat, ia bukan hanya kepada yang berusaha tapi kami memerlukan lebih banyak gol.”

Alonso kini sudah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan Liga Perdana, dua jaringan di Dean Court diikuti rembatan yang memastikan kemenangan ke atas Tottenham Hotspur.

“Marcos Alonso mempunyai minggu yang besar tapi saya tidak mahu pemain pertahanan kiri saya berada dalam senarai penjaring terbanyak,” tegas Lampard bekas perancang tengah Chelsea dan England itu.

“Saya mahu barisan penyerang menjaringkan lebih banyak gol tetapi mereka tidak melakukannya.

“Perjalanan musim ini tampak mendatar, kami harus bersyukur kerana berada di kedudukan keempat tapi ia tidak bermakna pada peringkat ini. Jika kami dapat kekal di kedudukan empat teratas pencapaian itu cukup besar tapi perjalanan itu masih lagi jauh.”

Chelsea ketika ini hanya memenangi lima daripada 16 perlawanan terakhir mereka dalam liga untuk berada di tangga keempat dengan 45 mata.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 10:50am
d