arena

Serba tak menjadi : Dollah

Oleh Asrol Awang

SEMUA serba tidak menjadi selepas 25 minit perlawanan yang menyebabkan skuad Pahang tewas 1-2 kepada Selangor, malam tadi.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, selepas menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-20, prestasi anak buahnya mulai menurun.

"Dengan prestasi tidak konsisten itu dan kelekaan, lawan bijak memanfaatkan peluang untuk menjaringkan dua gol, masing-masing satu pada setiap babak.

"Kami cuba menggandakan serangan dan mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi dipersiakan.

"Sebaliknya, Selangor mengambil peluang itu di penghujung perlawanan yang menyebabkan pasukan akur tewas di tempat sendiri," katanya.

Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, beliau sudah mengingatkan anak buahnya supaya lebih fokus terutama berdepan Selangor.

Namun, katanya, percaturan yang dirancang tidak menjadi hingga memberi banyak peluang Selangor melakukan serangan balas.

"Lebih-lebih lagi aksi dua pemain iaitu Ifedayo Olusegun dan Brendan Gan. "Tapi secara keseluruhannya saya tetap berpuas hati dan anggap nasib tidak menyebelahi Pahang malam ini," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 1:08pm
d