arena

Durakovic puji barisan pemain

Oleh Malik Muhamad

KETUA jurulatih Perak, Mehmet Durakovic kagum dengan aksi yang dipamerkan barisan pemainnya sehingga berjaya membawa pulang tiga mata ketika bertemu Terengganu FC (TFC) pada aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak semalam.

Jurulatih kelahiran Australia itu yang pernah menyarung jersi skuad Selangor pada 1995 juga menyifatkan taktikal yang diterapkan kepada anak buahnya menjadi biarpun baharu perlawanan pertama liga.

Malah beliau juga bangga dengan semangat juang yang diperagakan pemainnya yang tampak tidak tertekan sebaliknya terus mengasak kubu lawan biarpun pada awalnya ketinggalan dengan jaringan lawan selain beraksi dalam lautan penyokong tuan rumah.

“Bukan senang buat kami beraksi di Terengganu dan memenangi perlawanan ini tapi pemain memberikan persembahan yang terbaik, ini yang menggembirakan kami.

“Apa yang lebih menggembirakan kami adalah penjaga gol, (Nasrullah Abdul Aziz) beraksi dengan baik. Pada saya dia layak dijulang sebagai pemain terbaik kerana melakukan keajaiban dengan menyelamatkan banyak percubaan lawan.

“Selain penjaga gol, pemain lain juga beraksi dengan baik dan dilihat bijak menguasai bola biarpun pada awalnya ketinggalan,” kata Durakovic.

Pada perlawanan yang boleh disifatkan ulangan final Piala Malaysia 2018, skuad The Bos Gaurus yang menurunkan lima bintang importnya ketinggalan hasil jaringan pemain tengah TFC, Sanjar Shaakhmedov.

Bagaimanapun usaha berterusan skuad itu membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama menerusi sepakan penalti Guilherme de Paula.

Kapten Perak, Shahrul Saad menambah jaringan kedua dan berbaki sebelas minit permainan, pemain kelahiran Brazil itu sekali lagi meledak gol sekali gus berjaya melakar kemenangan 3-1.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 6:42pm
d