arena

Klopp 'tunaikan' permintaan untuk kalah

Oleh Agensi

PERMINTAAN seorang kanak-kanak yang berharap Liverpool tidak lagi memenangi perlawanan, seumpama ditunaikan oleh kelab itu serta pengurus Reds, Jurgen Klopp.

Sebelum ini, Daragh Curley yang berusia 10 tahun serta peminat tegar Manchester United, menulis surat dituju kepada Klopp, meminta Liverpool tewas dalam beberapa perlawanan bagi membolehkan kelab itu tidak memenangi kejuaraan Liga Perdana.

Petikan suratnya ialah: “Liverpool memenangi banyak perlawanan. Jika anda memenangi sembilan lagi perlawanan, pasukan anda memegang rekod tidak tewas di saingan liga.

“Jadi apabila Liverpool beraksi lagi selepas ini, tolonglah kalah. Anda harus memberi peluang kepada pasukan lain untuk menjaringkan gol. Saya harap dapat meyakinkan anda untuk tidak memenangi perlawanan liga atau perlawanan lain.”

Seakan kebetulan apabila selepas menerima surat itu kira-kira dua minggu lalu, skuad bimbingan Klopp sudah tewas dua perlawanan termasuk kalah kali pertama di saingan liga.

Liverpool tewas 0-3 kepada Watford di Vicarage Road hari ini dan mereka juga turut tewas 0-1 awal bulan ini di tangan Atletico Madrid pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara.

Benar, Liverpool masih kekal dengan kelebihan 22 mata di tangga teratas liga dan masih bersaing di Liga Juara-Juara di sebalik kekalahan pada perlawanan pertama itu.

Tetapi Curley yang berasal dari Ireland pasti berbunga-bunga hatinya menyaksikan Liverpool tewas buat kali pertama di saingan liga.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 10:21pm
d