arena

Harap 'ihsan' MFL

Oleh Arena Metro

PENGURUSAN Petaling Jaya City (PJ City) akan meminta ‘ihsan’ Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memeriksa dan memantau Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membolehkan venue terbabit digunakan untuk bertemu Pahang pada 6 Mac ini.

Pengurus PJ City K Rajan berkata, wakil MFL akan mengadakan pemeriksaan terakhir hari ini atau esok bagi melihat secara terperinci sama ada venue berkenaan tidak boleh digunakan atau sebaliknya.

Beliau berkata, pihaknya akan mencari alternatif lain bagi menghadapi perlawanan menentang Pahang dengan melihat beberapa stadium di sekitar Lembah Klang atau bermain di Stadium Darul Makmur.

“Kami akur segala keputusan ditentukan MFL kerana mereka akan melakukan pemeriksaan kali terakhir bagi menentukan sama ada venue berkenaan boleh digunakan dalam masa terdekat ini.

“Pihak kontraktor sedaya upaya mempecepatkan kerja baik pulih stadium mengikut standard ditetapkan MFL,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sementara itu, pengurus Selangor Mahfizul Rusydin berkata, pihaknya akur terhadap keputusan MFL terbabit berkaitan keadaan terkini Stadium Shah Alam.

“Pengurusan mencari stadium lain sementara menunggu Stadium Shah Alam dibaik pulih seterusnya boleh digunakan. Pihak MFL sudah memberikan masa sehingga 2 Mac untuk Selangor menamakan stadium yang sesuai digunakan.

“Setakat ini belum ada lagi dan akan mengumumkan apabila stadium berkenaan memenuhi kriteria ditetapkan MFL namun paling utama memudahkan semua pihak termasuk penyokong Gergasi Merah,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 7:15am
d