arena

Intai peluang aksi Liga M

Oleh Syazwan Msar

BAKAT ada namun peluang untuk beraksi bersama pasukan tempatan dan kebangsaan tidak kunjung tiba buat pemain kacukan Malaysia-England, Muhammad Haziq Macwilson sekali gus menyebabkan dia terpaksa berkelana ke Australia bermain bersama kelab di negara terbabit sejak beberapa tahun lalu.

Haziq, 22, yang juga adik kepada pelakon, Zahirah MacWilson kini menjadi antara tonggak utama beberapa kelab tempatan berpangkalan di Perth antaranya Wanneroo FC, Joondalup FC, Kingsley FC dan Stirling Lions FC.

Dia sebenarnya mahu pulang ke Malaysia berbakti untuk pasukan tempatan, malah turut bersedia menyarung jersi skuad kebangsaan jika berkesempatan berbuat demikian.

Perkara terbabit dinyatakan ayahnya, Zainol Macwilson apabila anaknya melahirkan hasrat untuk meneruskan karier bola sepak di kelab tempatan.

Namun, ada beberapa kekangan yang terpaksa dihadapi antaranya sukar berhubung dengan pengurusan kelab tempatan bagi memberi peluang anaknya menjalani ujian pemilihan.

“Sejak usia lima tahun, Haziq menunjukkan minat dalam sukan bola sepak, malah turut menyertai Akademi Kelab Bola Sepak Woodhouse di South Yorkshire, England.

“Karier bola sepak Haziq terus berkembang sebaik kami sekeluarga berpindah ke Perth, Australia apabila dia mendapat tawaran daripada beberapa kelab tempatan untuk beraksi bersama mereka.

“Melihat kepada kemeriahan Liga Malaysia menyebabkan dia mahu mencuba nasib bermain bersama pasukan tempatan, namun sehingga kini tiada pihak memanggilnya untuk menjalani latihan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Anak kedua daripada empat beradik itu juga bersedia menjalani ujian seperti pemain lain dan tidak mahu diserap dalam pasukan menggunakan pintu belakang.

“Dia sebenarnya baru saja tamat pengajian dalam bidang perakaunan dan kewangan dari Universiti Curtin dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya dalam kerjaya bola sepak.

“Setakat ini, dia mendapat maklum balas positif daripada pengurusan kelab yang disertainya dan berharap dapat menyertai pasukan tertentu dalam masa terdekat ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 6:00am
d