arena

Watford terpaksa lupakan Deulofeu

Oleh Reuters

PENYERANG Watford, Gerard Deulofeu terpaksa berehat sehingga tamat musim selepas mengalami kecederaan lutut ketika membantu pasukannya menumpaskan Liverpool 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Deulofeu akan melakukan pembedahan selepas imbasan mengesahkan dia mengalami kecederaan di bahagian ligamen.

Bekas pemain sayap Barcelona dan Everton itu, yang menjaringkan 17 gol dalam 70 perlawanan sejak berkunjung ke Watford pada 2018, terpaksa diusung keluar selepas terjatuh dengan agak pelik.

“Sangat malang buat dia dan kami, keputusan imbasan itu menunjukkan dia akan berehat sehingga habis musim. Sudah pasti kami terasa dengan kehilangan Geri namun paling penting ialah kami perlu pandang ke depan dan terus positif.

“Kami akan sentiasa memberi sokongan kepada Geri dan memenuhi segala keperluannya sepanjang proses pemulihan,” kata jurulatih, Nigel Pearson dalam laman web rasmi pasukan.

Ketua pasukan, Troy Deeney, yang juga pernah mengalami kecederaan serius pada awal musim, berkata dia akan menawarkan sokongan kepada rakan sepasukannya itu dan kemenangan Sabtu lalu ditujukan khas buat Deulofeu.

“Ia akan memberi kesukaran buat kami. Kami mengucapkan semoga cepat sembuh. Saya berkata kepadanya pada waktu rehat. Kami akan memenangi perlawanan ini untuknya dan akhirnya kami berjaya. Saya seorang yang berpegang pada janji,” kata Deeney.

Kemenangan ke atas Liverpool menyaksikan Watford keluar dari zon penyingkiran di atas kelebihan perbezaan jaringan.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 9:31am
d